BAB 1

1.1 Adalah menjadi fitrah manusia memerlukan Tuhan dan beribadat kepada-Nya dalam segenap ceruk kehidupannya. Keperluan fitrah bertuhan ini perlu dipenuhi untuk mengisi kekosongan kerohanian bagi memastikan kesejahteraan kehidupannya di dunia dan juga di akhirat.

1.2 Allah SWT berfirman dalam surah al-Rum (30) ayat 30:

فَأَقِمْ وَجْهَكَ لِلدِّينِ حَنِيفًا فِطْرَتَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا لا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ اللَّهِ ذَلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لا يَعْلَمُونَ
Maksudnya: “(Setelah jelas kesesatan syirik itu) maka hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikut-pengikutmu, wahai Muhammad) ke arah agama yang jauh dari kesesatan; (turutlah terus) agama Allah, iaitu agama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semula jadinya) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah agama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui”.

1.3 Manusia seharusnya tahu dan sedar bahawa kemampuan dirinya adalah terbatas sebagai hamba Allah SWT Yang Maha Berkuasa dan Maha Bijaksana. Manusia amat memerlukan panduan serta bimbingan daripada Allah SWT untuk membantunya dalam menguruskan dan menjalani kehidupan sehari-hari.

1.4 Dalam perspektif Islam, kesemua bencana alam sekitar termasuk banjir yang berlaku ini adalah bukti kekuasaan Allah SWT ke atas seluruh makhluk-Nya. Kesemua bencana alam termasuk banjir yang berlaku ini adalah berdasarkan iradah (kehendak), hikmah (kebijaksanaan) dan qudrah (kekuasaan) Allah SWT.

1.5 Firman Allah SWT dalam Surah Fussilat 41: ayat 53:

سَنُرِيهِمْ ءَايَـٰتِنَا فِى ٱلْـَٔافَاقِ وَفِىٓ أَنفُسِهِمْ حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَهُمْ أَنَّهُ ٱلْحَقُّ ۗ أَوَلَمْ يَكْفِ بِرَبِّكَ أَنَّهُۥ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍۢ شَهِيدٌ
Maksudnya: “Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Al-Quran adalah benar. Belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belumkah cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu?”.

1.6 Allah SWT menetapkan dan mentakdirkan kejadian banjir ini berlaku sesuai dengan qada’ dan keadilan Allah SWT sebagai Tuhan yang Maha Menguasai dan Mentadbir seluruh makhluk. Sebagai hamba Allah, manusia dan seluruh makhluk-Nya wajib bersifat patuh, rendah diri, di samping berusaha keras dalam meneruskan kehidupan, serta berhadapan dengan realiti ujian-Nya.

1.7 Banjir yang berlaku sebenarnya adalah untuk menguji keimanan, memberikan kesedaran tentang kesalahan yang mungkin telah dilakukan, meningkatkan kedudukan hamba, menghapuskan dosa-dosa kecil sebagai kafarah, meningkatkan kedudukan hamba-hamba-Nya yang bersabar dan menganugerahkan pahala yang tidak terhingga kepada mereka yang menghadapi bala bencana ini dengan kepercayaan, perkataan dan sikap yang tepat.

1.8 Allah SWT menyatakan dalam Surah al-Mulk (67) ayat 1-2, bahawa kehidupan di dunia adalah sebagai ujian buat semua hamba-Nya:

تَبَارَكَ الَّذِي بِيَدِهِ الْمُلْكُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ
Maksudnya: “Maha Berkat (serta Maha Tinggilah kelebihan) Tuhan yang menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat) dan memanglah Dia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu; Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)”.

1.9 Kesabaran dan ketaatan kepada Allah SWT ketika menghadapi banjir dapat meningkatkan kedudukan hamba dan menghapuskan dosa-dosa kecil. Ini dinyatakan secara jelas oleh Baginda SAW dalam sebuah hadis sahih riwayat Imam Muslim seperti berikut:

مَا يُصِيبُ الْمُؤْمِنَ مِنْ شَوْكَةٍ فَمَا فَوْقَهَا إِلاَّ رَفَعَهُ اللَّهُ بِهَا دَرَجَةً أَوْ حَطَّ عَنْهُ بِهَا خَطِيئَةً
Maksudnya: “Tidak ada satu pun musibah yang menimpa seorang muslim berupa duri atau yang lebih dahsyat kesakitannya, melainkan dengannya Allah mengangkat darjatnya atau menghapus dosa-dosa kecilnya”.