2.0 Qada Hajat
2.0.1 Qada hajat ialah perbuatan membuang air besar atau kecil.
2.0.2 Berikut adalah hukum dan adab qada hajat yang perlu dipatuhi individu muslim walaupun dalam keadaan banjir:
2.1 Perkara Wajib Ketika Qada Hajat
2.1.1 Menutup aurat daripada pandangan manusia.
2.1.2 Mengelakkan terkena najis daripada badan atau pakaian. Sekiranya najis terkena badan atau pakaian, wajib membasuh tempat yang terkena dengan air mutlak.
2.1.3 Beristinjak (membersihkan kemaluan depan dan belakang) selepas selesai qada hajat.
2.2 Perkara Haram Ketika Qada Hajat
2.2.1 Mengadap atau membelakangi kiblat.
2.2.2 Membuang air besar atau kecil di tempat laluan, teduhan atau perhimpunan orang ramai.
2.2.3 Membuang air besar atau kecil dalam air sedikit yang tidak mengalir.
2.2.4 Memasukkan al-Quran ke dalam tandas.
2.2.5 Tidak mengepam tandas selepas digunakan.
2.3 Perkara Sunat Ketika Qada Hajat
2.3.1 Membaca doa (اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوْذُ بِكَ مِنَ الْخُبُثِ وَالْخَبَائِثِ) yang bermaksud “Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari segala kejahatan syaitan” sebelum masuk tandas.
2.3.2 Melangkah dengan kaki kiri ketika masuk tandas dan melangkah dengan kaki kanan ketika keluar tandas.
2.3.3 Membaca doa (غُفْرَانَكَ) yang bermaksud “keampunan-Mu (ya Allah)” selepas keluar tandas.
2.4 Perkara Makruh Ketika Qada Hajat
2.4 1 Bercakap tanpa ada keperluan.
2.4 2 Memegang atau membasuh kemaluan dengan tangan kanan.
2.5 Bersuci
2.5.1 Seseorang individu muslim wajib “bersuci” sebelum menunaikan ibadat.
2.5.2 Bersuci ialah membersihkan diri:
- Daripada hadas kecil dengan cara berwuduk.
- Daripada hadas besar dengan cara mandi wajib.
- Daripada najis yang terkena/terdapat pada anggota badan, pakaian dan tempat solat dengan air mutlak.
2.5.3 Tujuan bersuci ialah untuk membolehkan seseorang menunaikan ibadat.
2.5.4 Untuk bersuci, hanya air mutlak sahaja yang boleh digunakan.
2.5.5 Air mutlak ialah air yang turun dari langit seperti hujan dan salji serta yang terbit dari bumi seperti air laut, air sungai, air mata air, air telaga dan air embun.
2.5.6 Pada zaman sekarang, air paip juga dikategorikan sebagai air mutlak kerana berpunca daripada salah satu daripada sumber air yang disebutkan sebelum ini (point 2.5.5).
2.5.7 Dalam situasi banjir, terdapat beberapa kategori air banjir:
a. Situasi 1:
Air banjir yang menenggelami kampung / taman / bandar / Pusat Pemindahan atau Penempatan mangsa banjir; atau air banjir yang melimpah sama ada dari sungai atau longkang dan mengalir di jalanan.
Hukum:[1]
- Secara asasnya, air banjir kategori ini dianggap air mutlak kerana kuantitinya yang banyak (lebih 2 kolah),[2] serta perubahan warna, bau dan rasanya berlaku dengan sendiri dan sukar dielakkan.
- Perkara sunat contohnya berkumur dan istinshaq (memasukkan air ke dalam hidung) boleh ditinggalkan dalam keadaan ini. Air banjir kategori ini hanya kegunaan luar sahaja dan bukan untuk makan minum.
- Sekiranya terdapat najis atau bangkai dalam air banjir kategori ini, seseorang itu dinasihatkan agar tidak menggunakan air banjir yang berdekatan dengannya.
b. Situasi 2:
Takungan air selepas banjir yang terdapat dalam bekas atau lopak yang kurang daripada dua kolah.
Hukum:[3]
- Air banjir kategori ini masih dianggap air mutlak kerana berasal daripada sumber air mutlak. Perubahan warna, bau dan rasanya berlaku dengan sendiri dan sukar dielakkan.
- Sekiranya air banjir kategori ini bercampur dengan najis, maka ia tidak boleh digunakan untuk bersuci kerana kuantitinya yang sedikit.
2.6 Beristinjak Ketika Banjir
2.6.1 Beristinjak ialah perbuatan membersihkan najis yang keluar daripada kemaluan.
2.6.2 Tujuan beristinjak ialah untuk membolehkan seseorang menunaikan ibadat.
2.6.3 Istinjak dibolehkan dengan menggunakan air, batu dan benda-benda yang kesat seperti tisu, kertas atau kain.
2.6.4 Dalam situasi banjir, air banjir[4] juga boleh digunakan untuk beristinjak.
2.6.5 Sekiranya ada keperluan beristinjak menggunakan kertas hendaklah mengelakkan daripada penggunaan kertas yang mengandungi ayat al-Quran dan hadis serta bahan ilmiah yang lain.
2.6.6 Benda yang tidak boleh beristinjak dengannya, antaranya ialah najis seperti tahi kering atau benda yang dihormati seperti makanan atau benda yang berbahaya seperti tulang, kaca dan duri.
2.7 Berwuduk Ketika Banjir
2.7.1 Berwuduk ialah perbuatan membasuh dan menyapu dengan air mutlak pada beberapa anggota badan mengikut rukun tertentu.
2.7.2 Tujuan berwuduk ialah untuk membolehkan seseorang menunaikan ibadat.
2.7.3 Rukun wuduk ialah:
- Niat ketika membasuh muka.
- Membasuh muka.
- Membasuh kedua belah tangan hingga melepasi siku.
- Menyapu sebahagian kepala.
- Membasuh kedua belah kaki hingga melepasi buku lali.
- Mengikut tertib perkara di atas.
2.7.4 Dalam situasi banjir, air banjir[5] juga boleh digunakan untuk berwuduk.
2.7.5 Sekiranya pusat penempatan banjir terputus bekalan air atau air hanya cukup untuk keperluan minum sahaja, mangsa banjir dibenarkan untuk bertayammum bagi menggantikan kefarduan wuduk.
2.8 Tayammum Ketika Banjir
2.8.1 Tayammum ialah perbuatan menyapu muka dan kedua belah tangan dengan debu bersih mengikut rukun tertentu.
2.8.2 Ia adalah satu bentuk kemudahan yang diberikan oleh Allah S.W.T apabila menghadapi keadaan yang tidak boleh menggunakan air untuk berwuduk atau mandi wajib akibat ketiadaan air atau sakit.
2.8.3 Bahan yang dibolehkan untuk tayammum ialah debu tanah yang bersih (suci dan tidak bernajis). Debu tanah yang telah digunakan untuk tujuan tayammum terdahulu (debu mustakmal) tidak boleh digunakan untuk tayammum yang baharu.
2.8.4 Satu tayammum hanya untuk satu solat fardu sahaja. Manakala untuk solat sunat dibolehkan melakukan sebanyak mana solat sunat dengan satu tayammum.
2.8.5 Rukun tayammum ialah seperti berikut:
- Berniat ketika memindahkan debu tanah sehingga menyentuh muka.
- Menyapu muka.
- Menyapu kedua belah tangan.
- Tertib.
2.8.6 Cara bertayammum ialah seperti berikut:
- Menepuk dua tapak tangan pada debu tanah kali pertama untuk menyapu muka.
- Berniat tayammum ketika mula menyentuh muka.
- Menyapu muka.
- Menepuk dua tapak tangan pada debu tanah untuk kali ke dua (bukan tempat tepukan pertama) untuk menyapu tangan.
- Menyapu tangan kanan daripada belakang tapak tangan kanan dengan empat perut jari tangan kiri daripada hujung jari (selain ibu jari) hingga naik ke siku.
- Menyapu tangan kanan daripada siku sehingga ke hujung ibu jari.
- Menyapu tangan kiri daripada belakang tapak tangan dengan empat perut jari tangan kanan (selain ibu jari) daripada hujung jari hingga ke siku.
- Menyapu tangan kiri dari siku hingga ke hujung ibu jari.
- Tertib.
2.8.7 Untuk menyapu tangan, wajib ditanggalkan cincin, jam tangan dan gelang sekiranya debu tidak sampai ke kulit.
2.8.8 Sekiranya pusat penempatan banjir terputus bekalan air atau air hanya cukup untuk keperluan minum sahaja, mangsa banjir dibenarkan untuk bertayammum.
2.8.9 Mangsa banjir yang sakit dan tidak boleh menggunakan air, juga dibenarkan untuk bertayammum.
2.8.10 Sekiranya sukar mendapatkan debu tanah, diharuskan untuk menepuk debu yang terdapat di dinding, cermin, meja dan tempat-tempat yang dirasakan ada debu untuk bertayammum.
2.8.11 Solat faqid al-tahurayn (individu yang tidak menjumpai air untuk berwuduk atau debu tanah untuk tayammum) masih wajib dilakukan dan perlu mengqada solat tersebut mengikut pandangan masyhur mazhab Syafie (Rujuk: Kitab Rawdat al-Talibin).
2.9 Mandi Wajib Ketika Banjir
2.9.1 Mandi wajib ialah perbuatan meratakan air ke seluruh anggota badan dengan niat.
2.9.2 Perkara-perkara yang menyebabkan mandi wajib:
- Hubungan kelamin.
- Keluar mani.
- Mati.
- Haid.
- Nifas.
- Wiladah.
2.9.3 Rukun mandi wajib ialah:
- Niat ketika air mula menyentuh mana-mana bahagian tubuh badan.
- Meratakan air ke seluruh anggota badan.
2.9.4 Dalam situasi banjir, air banjir[6] juga boleh digunakan untuk mandi wajib.
2.9.5 Sekiranya pusat penempatan banjir terputus bekalan air atau air hanya cukup untuk keperluan minum sahaja, mangsa banjir dibenarkan untuk bertayammum bagi menggantikan kefarduan mandi wajib.
2.10 Berwuduk Ke Atas Anggota Wuduk Yang Berbalut/Bertampal
2.10.1 Sekiranya anggota wuduk (muka/tangan/kepala/kaki) berbalut atau bertampal, maka cara berwuduk adalah seperti berikut:
- Membasuh anggota wuduk yang tidak luka/cedera seperti biasa.
- Hanya menyapu air ke atas anggota wuduk yang berbalut atau bertampal.
2.10.2 Secara terperinci, cara berwuduk ke atas anggota wuduk yang berbalut atau bertampal ialah seperti berikut:
a. Bahagian Muka:
Balutan/Tampalan di sebahagian muka:
- Berniat wuduk ketika membasuh muka.
- Membasuh muka dengan air di bahagian muka yang sihat.
- Menyapu dengan air di bahagian muka yang berbalut atau bertampal.
- Membasuh tangan kanan dan kiri hingga melepasi siku.
- Menyapu sebahagian kepala.
- Membasuh kaki kanan dan kiri hingga melepasi buku lali.
Balutan/Tampalan di seluruh muka:
- Berniat wuduk ketika menyapu muka dengan air.
- Membasuh tangan kanan dan kiri hingga melepasi siku.
- Menyapu sebahagian kepala.
- Membasuh kaki kanan dan kiri hingga melepasi buku lali.
b. BahagianTangan:
Balutan/Tampalan di tangan kanan:
- Berniat wuduk ketika membasuh muka.
- Membasuh muka dengan air.
- Untuk tangan kanan, basuh bahagian yang sihat. Untuk bahagian yang berbalut, cukup untuk menyapu air ke atas balutan.
- Membasuh tangan kiri hingga melepasi siku.
- Menyapu sebahagian kepala.
- Membasuh kaki kanan dan kiri hingga melepasi buku lali.
Balutan/Tampalan di tangan kiri:
- Berniat wuduk ketika membasuh muka.
- Membasuh muka dengan air.
- Membasuh tangan kanan hingga melepasi siku.
- Untuk tangan kiri, basuh bahagian yang sihat. Untuk bahagian yang berbalut, cukup untuk menyapu air ke atas balutan.
- Menyapu sebahagian kepala.
- Membasuh kaki kanan dan kiri hingga melepasi buku lali.
c. Bahagian Kepala:
Balutan/Tampalan di sebahagian kepala:
- Berniat wuduk ketika membasuh muka.
- Membasuh muka dengan air.
- Membasuh tangan kanan dan kiri hingga melepasi siku.
- Menyapu kepala di bahagian yang tidak berbalut atau bertampal.
- Membasuh kaki kanan dan kiri hingga melepasi buku lali.
Balutan/Tampalan di seluruh kepala:
- Berniat wuduk ketika membasuh muka.
- Membasuh muka dengan air.
- Membasuh tangan kanan dan kiri hingga melepasi siku.
- Menyapu kepala di mana-mana bahagian yang berbalut atau bertampal.
- Membasuh kaki kanan dan kiri hingga melepasi buku lali.
d. Bahagian Kaki:
Balutan/Tampalan di kaki kanan:
- Berniat wuduk ketika membasuh muka.
- Membasuh muka dengan air.
- Membasuh tangan kanan dan kiri hingga melepasi siku.
- Menyapu sebahagian kepala.
- Untuk kaki kanan, basuh bahagian yang sihat. Untuk bahagian yang berbalut, cukup untuk menyapu air ke atas balutan.
- Membasuh kaki kiri hingga melepasi buku lali.
Balutan/Tampalan di kaki kiri:
- Berniat wuduk ketika membasuh muka.
- Membasuh muka dengan air.
- Membasuh tangan kanan dan kiri hingga melepasi siku.
- Menyapu sebahagian kepala.
- Membasuh kaki kanan hingga melepasi buku lali.
- Untuk kaki kiri, basuh bahagian yang sihat. Untuk bahagian yang berbalut, cukup untuk menyapu air ke atas balutan.
2.10.3 Jika balutan atau tampalan anggota wuduk tidak boleh terkena air langsung, maka memadai dengan bertayammum.[7]
2.11 Mandi Wajib Ke Atas Anggota Yang Berbalut/Bertampal
2.11.1 Mandi wajib ialah perbuatan meratakan air kepada seluruh anggota badan dengan niat.
2.11.2 Perkara yang mewajibkan mandi wajib ialah:
- Berlaku persetubuhan.
- Keluar air mani sengaja atau tidak.
- Mati.
- Haid (bagi wanita sahaja).
- Nifas (bagi wanita sahaja).
- Melahirkan anak (bagi wanita sahaja).
2.11.3 Rukun mandi wajib ialah:
- Niat ketika air mula menyentuh mana-mana bahagian tubuh badan.
- Meratakan air kepada seluruh anggota badan.
2.11.4 Namun sekiranya anggota mandi wajib (satu bahagian dari tubuh badan) berbalut atau bertampal, maka cara mandi wajib adalah seperti berikut:
- Niat ketika air mula menyentuh mana-mana bahagian tubuh badan.
- Mengalirkan dan meratakan air ke tubuh badan yang tidak luka/cedera.
- Hanya menyapu air ke atas anggota yang berbalut atau bertampal.
2.11.5 Jika balutan atau tampalan anggota mandi wajib tidak boleh terkena air sama sekali, maka hanya memadai dengan bertayammum sahaja.[8]
2.12 Pendarahan Ketika Banjir
2.12.1 Apabila berlaku pendarahan anggota badan, bersihkan tempat pendarahan dan balut dengan balutan.
2.12.2 Sila rujuk no 2.10 untuk cara berwuduk atau no 2.11 untuk cara mandi wajib bagi anggota yang berbalut.
2.12.3 Bersihkan tempat pendarahan setiap kali hendak menunaikan solat (jika boleh). Jika darah masih keluar dan meninggalkan kesan di balutan, maka dibolehkan untuk solat dan solat itu adalah sah kerana dalam keadaan uzur Syarie.
Nota kaki:
[1] Penggunaan air banjir dalam situasi ini dibolehkan (hukumnya harus) sekiranya ia tidak memudaratkan dari segi kesihatan atau keselamatan diri pengguna.
[2] Ukuran 2 kolah mengikut pandangan ulama kontemporari ialah 270 liter (Wahbah al-Zuhayliyy. Al-Fiqh al-Islamiyy Wa Adillatuhu. Jil. 1. ms122).
[3] Penggunaan air banjir dalam situasi ini dibolehkan (hukumnya harus) sekiranya ia tidak memudaratkan dari segi kesihatan atau keselamatan diri pengguna.
[4] Sila rujuk kategori air banjir dalam perkara “2.5 Bersuci”.
[5] Sila rujuk kategori air banjir dalam perkara “2.5 Bersuci”.
[6] Sila rujuk kategori air banjir dalam perkara “2.5 Bersuci”.
[7] Sila rujuk no. 2.8 untuk cara bertayammum.
[8] Sila rujuk no. 2.8 untuk cara bertayammum.