BAB 3

3.0 Definisi solat

3.0.1 Solat ialah beberapa perkataan dan perbuatan yang tertentu, dimulai dengan takbir dan diakhiri dengan salam.

3.1 Solat Fardu Ketika Banjir

3.1.1 Setiap individu muslim wajib menunaikan solat fardu lima waktu mengikut rukun dan syaratnya.

3.1.2 Rukun solat ialah seperti berikut:

  1. Niat ketika takbiratul ihram.
  2. Berdiri tegak.
  3. Takbiratul ihram.
  4. Membaca surah al-Fatihah.
  5. Rukuk berserta tamakninah.
  6. Iktidal berserta tamakninah.
  7. Sujud berserta tamakninah.
  8. Duduk antara dua sujud berserta tamakninah.
  9. Duduk tahiyyat akhir.
  10. Membaca tahiyyat akhir.
  11. Membaca selawat dalam tahiyyat akhir.
  12. Memberi salam.
  13. Tertib (melakukan rukun-rukun secara berturutan).

3.1.3 Syarat sah solat adalah seperti berikut:

  1. Mengetahui masuk waktu solat.
  2. Menutup aurat.
  3. Mengadap kiblat.
  4. Bersuci daripada hadas kecil (dengan berwuduk); dan besar (dengan mandi wajib).
  5. Membersihkan tempat najis pada anggota badan, pakaian dan tempat solat.

3.1.4 Solat dengan anggota badan, pakaian atau tempat solat terkena lumpur banjir adalah sah dengan syarat lumpur itu tidak bercampur dengan najis.

3.1.5 Sekiranya tidak mampu menunaikan solat mengikut rukun dan syaratnya, dibenarkan menunaikan solat mengikut sekadar kemampuan dan perlu mengqadanya.

3.2 Solat Jumaat Ketika Banjir

3.2.1 Setiap individu lelaki muslim wajib menunaikan solat fardu Jumaat mengikut rukun dan syaratnya.

3.2.2 Sekiranya terdapat masjid atau surau jumaat berdekatan dan tiada halangan untuk ke sana, maka diwajibkan menunaikan solat Jumaat di masjid atau surau jumaat berdekatan.

3.2.3 Sekiranya sukar atau ada halangan untuk ke sana, pihak pengurusan pusat penempatan banjir dinasihatkan untuk menghubungi pihak berkuasa agama tempatan seperti Jabatan Mufti untuk kelulusan khas solat Jumaat di pusat penempatan banjir tersebut.

3.2.4 Sekiranya menghadapi kesukaran untuk menghubungi pihak berkuasa agama tempatan atau tidak mendapat kelulusan, maka hukum menunaikan solat Jumaat adalah tidak wajib. Namun, mangsa banjir wajib menunaikan solat zohor.

3.3 Solat Jamak Ketika Banjir

3.3.1 Solat jamak ialah menghimpunkan antara dua solat dan melakukannya dalam satu waktu. Ia terbahagi kepada 2 jenis:

  1. Jamak taqdim: iaitu menunaikan solat Zohor dan solat Asar dalam waktu Zohor atau solat Maghrib dan solat Isyak dalam waktu Maghrib.
  2. Jamak ta’khir: iaitu menunaikan solat Zohor dan solat Asar dalam waktu Asar atau solat Maghrib dan solat Isyak dalam waktu Isyak.

3.3.2 Solat “jamak” dibolehkan atas beberapa faktor seperti berikut:

  1. Perjalanan (musafir) yang melebihi 81 kilometer.
  2. Hujan lebat bagi orang yang biasa melazimi solat berjemaah di masjid.
  3. Sakit kuat.

3.3.3 Dalam situasi banjir, mangsa atau petugas dibolehkan untuk melakukan solat jamak ketika situasi “mendesak” seperti menyelamatkan diri atau harta semasa banjir.

3.3.4 Sekiranya ada kesempatan melakukan solat jamak taqdim dulu atau menjangkakan ada kesukaran menunaikan solat jamak ta’khir, maka digalakkan untuk solat jamak taqdim.

3.3.5 Sekiranya keadaan tidak mendesak atau sudah berada di pusat penempatan mangsa banjir, solat jamak tidak dibenarkan.