5.1 Individu muslim yang meninggal dunia perlu diuruskan seperti berikut:
- Dimandikan.
- Dikafankan.
- Disolatkan.
- Dikebumikan.
5.2 Dalam situasi banjir, air banjir[1] juga boleh digunakan untuk memandikan mayat.
5.3 Urusan memandikan jenazah lebih utama diuruskan oleh orang yang sama jantinanya. Namun sekiranya tidak ada pemandi yang sama jantina, diharuskan pemandi yang berlainan jantina untuk menguruskannya.
5.4 Sekiranya pusat penempatan banjir terputus bekalan air atau air hanya cukup untuk keperluan minum sahaja, jenazah banjir boleh ditayammumkan bagi menggantikan kefarduan mandi jenazah.
5.4 Sekiranya tayammum tidak boleh dilaksanakan, maka jenazah boleh terus disolatkan.
5.5 Kafan bertujuan untuk menutup jenazah dan disunatkan dengan kain berwarna putih. Bagi jenazah lelaki disunatkan 3 lapis kain dan bagi jenazah wanita disunatkan 5 lapis kain.
5.6 Urusan mengkafankan jenazah lebih utama diuruskan oleh orang yang sama jantinanya. Namun sekiranya tidak ada pengkafan yang sama jantina, diharuskan pengkafan yang berlainan jantina untuk menguruskannya.
5.7 Sekiranya menghadapi kesukaran untuk mendapatkan kain yang mencukupi atau yang berwarna putih, dibolehkan untuk mengkafankan jenazah dengan sekadar yang mampu dengan tujuan untuk menutup jenazah.
5.8 Jenazah yang telah dikafankan, wajib disolatkan sama ada secara sendirian atau berjemaah mengikut keadaan.
5.9 Jenazah yang telah disolatkan, wajib dikebumikan di tanah perkuburan yang disediakan oleh pihak berkuasa. Sekiranya tidak boleh dikebumikan di tanah perkuburan yang disediakan, dinasihatkan untuk menghubungi pihak berkuasa supaya diuruskan pengebumian[2]. Kalau tidak dapat menghubungi pihak berkuasa atau pihak berkuasa tidak dapat datang, perlu dilakukan perkara berikut:
- Dikebumikan di mana-mana tanah yang boleh didapati. Selepas banjir surut, sekiranya jenazah tersebut perlu dipindahkan ke tanah perkuburan yang disediakan, maka hendaklah ia diselia oleh pihak berkuasa agama negeri. Atau;
- Disimpan dalam tempat yang sesuai selama mana dirasakan ia tidak membusuk sehingga banjir surut dan dikebumikan selepas itu. Atau;
- Melakukan apa-apa alternatif yang boleh mengelakkan bau mayat yang memudaratkan orang awam.
Nota kaki:
[1] Sila rujuk kategori air banjir dalam perkara “2.5 Bersuci”.
[2] Contohnya, melalui helikopter sekiranya boleh.