BAB 6

6.1 Semua individu muslim diharamkan daripada mengambil dan menggunakan harta orang lain tanpa kebenaran pemiliknya.

6.2 Sekiranya dalam keadaan darurat syarie, setiap makanan yang dimakan sekadar untuk meneruskan hidup atau barang yang diambil untuk keperluan hidup, perlu diganti semula atau dibayar harganya mengikut budi bicara pemiliknya jika diketahui.

6.3 Jika tidak diketahui pemiliknya setelah mencari dengan sedaya upaya, dia perlu berusaha menghebahkan penggunaan atau pengambilan tersebut. Kemudian dia bersedekah dengan harga anggaran makanan atau barang yang diambil itu. Sekiranya pemiliknya dijumpai selepas itu, dia perlu mengganti semula atau membayar harganya mengikut budi bicara pemiliknya.

6.4 Barang yang dijumpai semasa banjir di tempat awam seperti sungai atau jalan raya dalam keadaan tidak darurat syarie terbahagi kepada dua:

  1. Mudah rosak atau susut nilai dalam tempoh yang singkat seperti makanan yang telah dimasak dan seumpamanya. Ia boleh dimakan atau dimanfaatkan. Namun sekiranya pemiliknya menuntut dengan bukti, maka perlu diganti semula atau dibayar harganya mengikut budi bicara pemiliknya.
  2. Tidak mudah rosak seperti jam, barang kemas dan seumpamanya. Orang yang menjumpainya boleh mengambilnya dengan tujuan memelihara barangan tersebut dan hendaklah mengiklankan barangan tersebut selama tempoh bersesuaian dengan sedaya upaya. Selepas tempoh tersebut, barangan tersebut boleh dimanfaatkan oleh orang yang menjumpainya. Sekiranya pemilik asal menuntut barangan tersebut sama ada sebelum atau selepas tempoh tersebut, maka orang yang menjumpainya perlu memberikannya kepada pemilik asal.

6.5 Pusat penempatan mangsa banjir perlu mempunyai tabung atau kaunter untuk menguruskan barangan luqatah (lost and found).